Wednesday, March 22, 2023

Kehilangan buat Sahabatku


Pada 21hb Mac, sahabat baikku Nowwa telah kehilangan abah tersayangnya pada waktu Asar. Pemergian arwah tidak disangka dan ketika itu tiada siapa menemani di rumah kerana semua anak-anak keluar bekerja. Pada mulanya ai nak datang ziarah waktu malam hari arwah Abah Nowwa meninggal tetapi ada kekangan yang tidak dapat dielakkan. Jadinya ai datang ziarah pada esok pagi, kebetulan arwah akan dikebumikan pada waktu pagi tersebut. Selepas hantar Qaireen sekolah, terus ai ke Surau Al-Ikhwan Bandar Baru Sg. Buloh.



Rumah arwah sama dengan rumah parents ai di Bandar Baru. Arwah dimandi, dikapan dan disembahyangkan di Surau Al-Ikhwan ini. Gambar di atas tu, ai berada di surau menemani Nowwa sehingga selesai urusan jenazah. Elin pun ada jua masa ini. Waktu nak keluar dari surau tiba-tiba ai ternampak satu kelibat yang sangat familiar, rupa-rupanya Abah ai datang nak menziarah jua. Walaupun Abah tak berapa kenal dengan arwah Abah Nowwa tapi kami sahabat baik dari zaman sekolah itu yang Abah ai turut bersama dengan ai. Selesai semua ai pun turut ikut ke tanah perkuburan. Sama tempat juga dengan arwah adik ai Achik.



Nowwa juga telah kehilangan ibunya dua tahun yang lepas. Waktu itu tengah kemuncak Covid dan arwah ibunya merupakan salah seorang dari pesakit Covid tersebut. Pemergian ibunya ketika kita semua dalam PKP. Ai terasa sedih dan terkilan sebab tak dapat bersama-sama dengan dia waktu kesedihan. Dan sekarang Nowwa sudah menjadi anak yatim piatu. Satu yang ai perasan masa di tanah perkuburan itu, nombor lot kubur arwah abah dan ibunya lebih kurang sama. Abah 521 dan ibu 421.



Semoga Nowwa kuat, tabah dan redha dengan kehilangan orang tuanya. InsyaAllah kami sentiasa mendoakan dan bersama ketika senang dan susah. Sebelum balik, ai singgah di kubur arwah Achik. Cantik sudah kuburnya. Bulan lima nanti cukup setahun pemergian arwah. Rindu sangat dengan arwah. Tahun ini kami tidak dapat beraya bersama-sama dengannya. Ini merupakan raya pertama tanpa arwah Achik :(



Selesai semuanya ai terus bergegas mengambil Qaireen balik dari sekolah. Apa pun yang pergi tetap pergi dan kita yang hidup ini perlu teruskan kehidupan. Kesedihan itu pasti, segala kenangan menjadi memori yang terpahat dihati jika rindu perbanyakkanlah berdoa dan bersedekah buat yang tiada. Semoga kita semua akan bersatu dalam SyurgaMu Ya Allah. Rindu yang tidak berpenghujung, Al-Fatihah.

No comments: