Saturday, January 18, 2020

Aktiviti Cuti Sekolah


Masa cuti sekolah yang lepas, kami pergi ke Johor. Tujuan utama ke sana untuk menyertai rombongan pihak lelaki untuk cousin enZaf bertunang. Dah alang-alang ke Johor kami pun pergi ke Legoland sekali. Majlis pertunangan sepupu enZaf hari Sabtu, tapi kami bertolak awal sehari semata-mata untuk bawa anak-anak bermain kat Legoland.

Lepas solat Subuh terus ke tingkap nak tengok suasana pukul 7 pagi kat rumah. Terus capai handphone ambil gambar sebab nampak cantik hehe



Anak-anak dah tahu nak pergi Legoland sebelum tidur, harusla semua pun bangun awal, semangat gitu. Tak payah nak kejut bangun pagi. Masing-masing terus pergi mandi dan bersiap.Sebelum masuk Legoland, kami singgah breakfast dulu kat Selera Larkin. Semestinya ai makan mee rebus, cuma kali ni amik yang kosong saje. Itu pun dah sedap.



Dan kacang pool tidak dilupakan. Banyak ai makan pagi tu. Simpan tenaga nak berjalan banyak kat Legoland nanti hehe



Ariq adalah peminat tegar kacang pool. Asal ke Johor je memang tak sah makan menda ni. Itu pertama yang dia minta. Tak pandang dah makanan lain. Muka kegembiraan di situ :p Kacang pool haji ni memang sedap. Dia tak pedas. Itu yang Ariq suka.



Dah kenyang terus kami menuju ke destinasi. Cuaca hari tu agak mendung. Macam nak hujan tapi tak juga hujan turun.



Ambil gambar berdua ni sementara tunggu Aliah ke toilet. Abang Ariq memang rajin layan Qaireen.



Lama tak datang sini, masuk-masuk je dah banyak menda baru Lego buat. Dan harusla ambil gambar dorang. Gajah ni ada nama tapi ai dah lupa. Cantik warna-warni. Ceria je bila tengok.



Pergi masa nak Krismas, harus la ada santa sleigh.



Nasib baik mood Qaireen okay nak bergambar walaupun kebanyakkan gambar dia tak pandang, tapi dia tak bergerak tu dah kira baik haha



Masa tengah berjalan nak ke dalam, ada staff Lego tu bagi borang untuk join contest mencari Elf. Katanya hadiah nanti buat macam lucky draw bila dah hujung petang masa Legoland nak tutup. Itu pun kalau jawapan dalam borang betul semua :) Disebabkan kami takde la rushing apa pun, ai pun setuju nak buat dan bagi anak-anak jawab contest tu. Kami kena mencari Elf-elf yang ada dekat area miniland. Rupanya banyak Elf yang nak tulis dalam borang, berpusing-pusing juga nak mencari Elf tu dengan cuaca panas. Berpeluh-peluh semua orang hahaha



Nasib baik lah anak-anak okay je. Walaupun panas tapi tengok muka sorang-sorang tu happy je. Panas pun panas la. Gigih masing-masing mencari. Ini antara contoh Elf macam kat arrow seperti gambar di bawah ini. Setiap Elf tu ada namanya. Kena catit dalam borang.



Dah dapat semua jawapan kami terus hantar borang tu kat tempat borang tu diambil. Lepas hantar masing-masing dpt topi krismas, bagi free hehe Penat juga cari Elf tu, tak rehat pun. Kami terus sambung jalan ke ride yang anak-anak nak main. Tengah-tengah jalan tu tetiba enZaf ajak bergambar. Nak bergambar berlatarbelakangkan kipas besar. Unik katanya. Kita layankan aje la.



Sepanjang dalam Legoland, ai kurang ambil gambar. Satu malas satu lagi kebanyakkannya dah ambil gambar masa pergi Legoland sebelum-sebelum ni. Banyak kali dah kot masuk Legoland. Sampai dah muak pun ada. Itu ai la, bagi anak-anak tetap seronok. Datang la banyak kali pun. Hoorey saja dorang tu hihi. Masa ni kami tengah tunggu Zahra, Aliah dan Ariq masuk 4D movies.



Lepas dorang bertiga habis tengok movie, kami lepak dalam Pizza Mania. Kelaparan dan isi perut dulu sebelum sambung main lain pula. Masa tengah duduk kat meja tetiba staf situ, ajak anak-anak buat pizza. Memang rezeki anak-anak la. Paling gembira Aliah sebab dia memang cita-cita nak jadi chef haha



Aliah dan Ariq je join, akak Zahra dia tak nak sebab tak makan pizza huhu



Masa buat pizza ni anak kawan enZaf pun ada, kebetulan terjumpa dalam restoran ni. Geng golf dia, sebelum ni kami pernah bercuti bersama kat Forest City tahun 2018... pergh cepat betul masa. Rasa macam baru je cuti kat situ. Dah setahun lebih rupanya.




Sedikit video masa Aliah dan Ariq tengah buat pizza.





Siap sudah pizza dorang.



Ariq cakap sedap.



Kenyang kami makan pizza dorang berdua ni. Qaireen pun suka sama.

Naik tower pula.




Sepuluh kali naik pun tak jemu-jemu dorang ni.






Yang ni video masa anak-anak naik roller coaster. Suara Aliah yang paling kuat sekali menjerit haha Ai sampai boleh cam suara anak sendiri. Bila tanya dorang betul ke suara Aliah yang menjerit, akak Zahra cakap ye Mummy. Aliah jerit kuat sangat. :p


Akhirnya hujan turun dengan lebat. Mujur la banyak dah ride anak-anak dah main.



Masa ni hanya tinggal ai dengan Qaireen saja. Yang lain semua pergi masuk dalam NinjaGo. Qaireen okay je janji ada Mummy dan makanan. Diam la dia :) Yang lain takde dia tak kisah.



Hujan lebat tapi sekejap aje. Lepas tu hujan mula turun balik secara on off. Ada sesetengah ride boleh naik ketika hujan rintik-rintik, suka la dorang dapat main dalam hujan. Cuma kereta je tak sempat main, hujan agak lebat masa tu. Semua permainan ditangguhkan. Sebelum balik sempat tengok persembahan dan parade sempena Krismas. Tak ambil gambar hanya video.

Sebelum persembahan tu dijalankan ada buat lucky draw, tapi ai tak sempat nak pergi sebab masa tu kami kat surau. Andai kata nama anak-anak naik nampak gaya bukan rezeki kami. Tapi takpe la main kat dalam ni pun dah gembira buat mereka. Keluar dari Legoland, singgah Starbucks. Alas perut sebelum dinner kata enZaf.



My santa claus :)



Masa ni ai dah terasa kepenatan. Banyak berjalan okay dalam ni. Terasa lenguh kaki-kaki ni. Ke faktor umur yang dah tak larat :p Terima kasih enZaf sudi bawa anak-anak berjalan dan layan mereka main dalam Legoland ni. Selagi tak expired kad selagi tu la kita masuk banyak kali pun.

Wednesday, January 15, 2020

Majlis Anugerah Kecemerlangan 2019


Disebabkan jarang update, banyak la cerita tahun lepas yang tertunggak. Ni pun dah ingat-ingat lupa dah huhu Tengok balik gambar-gambar dalam phone dan ingat balik kejadian yang berlaku hihi. Kalini nak cerita Hari Anugerah Kecemerlangan sekolah anak. Tahun 2019, rezeki buat akak Zahra naik stage. Alhamdulillah. Mummy takde letak harapan yang tinggi dan perkara yang kita tak harap tu la yang tak disangka-sangka kan.

Masa hari anugerah tu, akak Zahra bukan naik stage semata untuk ambil anugerah sahaja tapi dia ada buat persembahan juga. Persembahan keyboard. Kalini kena pakai serba hitam katanya. Sempat ai ambil gambar sebelum keluar rumah. Daddy dia pergi hantar akak Zahra dulu kat sekolah. Guru keyboard nak buat final preparation katanya.



Sampai-sampai sekolah, register dan terus cari tempat duduk. Kami sengaja duduk jauh kebelakang. Senang nak keluar masuk sebab Qaireen bukan jenis reti dok diam.



Bergambar ngan BFFnya Sofia. Sama-sama naik stage. Walaupun tahun 2019 dorang tak sama kelas. Berpisah kejap. Masuk Tahun 6 dapat balik sama kelas, suka la berdua ni.



Masa ni tengah tunggu turn untuk buat persembahan. Kecik je akak Zahra bersama kawan-kawannya macam Mummy dia juga hehe



Jauh akak Zahra dihujung sana masa buat persembahan keyboard. Ai malas nak pergi dekat. Bergambar je la dari jauh. Oh baru-baru ini dia dapat sijil masa pertandingan tahun lepas dari Kementerian Pendidikan Malaysia [link]. Dapat gangsa sekolah dorang. Tahniah sekali lagi.



Lebih gembira bila semua kawan-kawan keyboardnya turut sama-sama dapat anugerah juga haritu. Bila turn Tahun 5 nak ambil anugerah, dalam barisan penuh dengan vest dan topi merah haha Masa ni dia tengah ambil anugerah, laju-laju ai ke depan nak snap gambarnya. Mujur sempat.



Sekali lagi bergambar ngan bff, kalini bersama dengan anugerah masing-masing.



Aliah ngan kawan-kawan dia. Semua kawan-kawan ni baru lepas buat persembahan action song.



Sebelum balik harusla bergambar ngan akak Zahra.



Qaireen time ni dah bad mood. Lama sangat dah bagi dia. Panas berpeluh habis basah rambutnya. Dah rimas la tu.



Dengan Aliah dan Ariq.



Sempat Daddy ajak wefie.



Tahniah akak Zahra. Dan tahniah juga buat anak-anakku Aliah dan Ariq. Walaupun dorang berdua tak naik stage, Mummy tetap bangga dengan korang berdua. Keputusan Aliah majoriti TP6 untuk semua subjek kecuali satu TP5 tak ingat pula subjek ape. Ariq pula semua TP4 kecuali satu subjek TP3. Sama tak ingat apa satu subjek tu huhuhu Bagi Mummy, kedua-duanya resultnya okay dan membanggakan. Janji dorang paham apa yang mereka belajar itu sudah memadai. Bukan senang nak jadi paling terbaik dalam kalangan terbaik tu kan. Semua tu kena ada hasil usaha yang kuat dan berlipat ganda. Apa pun Mummy sentiasa berdoa untuk anak-anak semoga berjaya dalam hidup.


Friday, January 10, 2020

Steamboat & Christmas Deco


Masa cuti sekolah tahun lepas, dapat juga ai hangout dengan Nani & Tee B. Tahun lepas agak susah juga la nak dapatkan time jumpa dorang berdua ni. Masing-masing sibuk dengan komitmen tersendiri. Bila dua orang free sorang pula tak free. Bila yang sorang free lain pula tak free. Ada je la hihi Akhirnya kami berjaya juga disaat-saat hujung tahun haha Berjanji jumpa kat The Curve dan lunch kat The Steamboat Ketam Village.



Tak plan pun nak makan kat sini. Bila semua dah jumpa baru fikir nak makan apa. Alang-alang semua tak pernah try kita pun masuk la makan steamboat. Semua setuju dan terus masuk sebabnya dah lapar hehe Bila dah first time, masing-masing order yang set kecuali ai sebab yang set ada makanannya yang anak-anak tak makan. Itu pun ai minta waiter tu rekemenkan nak order apa. :) Ai tak ambil gambar semua makanan. Yang mana sampai dulu itu la ai snap :)



Tak sabar nak makan, masing-masing dah kebulur.



Bagi tekak ai biasa-biasa je makanan dia. Kalau makan steamboat ni yang penting sup tu. Kalau sup tu sedap jadi sedap la steamboat tu. Ai pilih clear soup, tapi supnya tak sedap, Masin-masin sikit rasanya. Anak-anak pun tak berapa suka. Tee B pula ambil sup tomyam, ai tak rasa tapi katanya sedap. Sebabkan dah lapar, makan juga la kan. Lepas makan sempat la minta waiter ambilkan gambar kami sebelum balik. Dia yang suggestkan kami ambil gambar kat luar sebab ada signboard kedai katanya.



Bila tengok gambar dia ambil tu, tak nampak sangat pun signboardnya. Silau ngan lampu hahahaha Walaupun tak nampak tapi bolehla at least niatnya baik, nak juga melayan kami nak ambil gambar. Masa nak ambil gambar tu pun punya la ramai orang lalu lalang :) Nak tunggu bagi clear tu ambil masa juga :p Apa pun thank you enWaiter. Dah kenyang kami sambung jalan-jalan dalam The Curve. Bagi anak-anak seronok main sekejap.



Masuk Cotton On tempat feveret anak-anak dan ai juga. Suka beli baju seluar kat sini. Murah dan cantik. Berbaloi.



Dah penat pusing-pusing, kami stop kat tengah-tengah Curve ni untuk ambil gambar dengan deko-deko Krismas. Tema tahun ni Berry Merry Christmas. Penuh dengan teddy bear kat situ. Besar-besar pula tu.



Setiap sudut kami bergambar, mujur la anak-anak melayan hihi



Yang ni comel sangat, Qaireen tu takut-takut, muka nak nangis dah. Orang tak boleh renggang dengan Mummy langsung macam tu la. Laju-laju ai ambil gambar.



Dapat juga kami bergambar ramai-ramai kat sini.



Thank you kat acik Cina kat situ, dia pun bergambar juga lepas tu muka tak malu ai minta tolong ambilkan gambar kami pula hehehe Last skali gambar Mummy & anak-anak. Thanks Tee B ambilkan gambar.



Dah bergambar kami singgah McD pula, Nani belanja anak-anak makan aiskrim. Thank you ibu, semoga melimpah ruah rezeki buatmu. Borak-borak sambil tengok anak-anak makan aiskrim, dalam pukul 3 petang lebih kami semua balik. Sebelum tu sempat la juga ai singgah Typo, Aliah la nak masuk konon nak tengok-tengok je katanya. Dalam tengok-tengok tu akhirnya terbeli juga hehehe Bertuah la anakkan. Nasib baik Mummy ada bawa duit lebih :p Anak-anak sekarang ni dah tak layan Smiggle. Dah beralih arah ke Typo plak. Dewasa dah anak-anakku.

Tuesday, January 7, 2020

Hari Pertama Persekolahan Tahun 2020


Alhamdulillah hari pertama persekolahan anak-anak berjalan dengan baik sekali. Masing-masing bersemangat bangun awal dan eksaited nak pergi ke sekolah terutamanya nak berjumpa dengan kawan-kawan. Cuma tahun ni berbeza sedikit, sebab Aliah dah masuk sesi pagi. Akak Zahra pun dah ada geng nak ke sekolah. Tahun ni, mereka masih naik van. Mummy malas nak hantar dorang pagi-pagi. Jadinya korang pergi la dengan van. Setel :p Ariq pula yang sorang ke sekolah untuk sesi petang. Untuk dia, ai hantar dengan kereta. Takde dah naik van, Mummy yang uruskan pergi dan balik sekolah. Lagi pun dia sorang je pun, sambil tu dapat la ai keluar berjalan nanti ahahaha Alasan kukuh.

Wajib la ai ambil gambar sebelum anak-anak pergi sekolah. Tahun ni Aliah nak pakai tudung, dia sendiri yang request. Elok sangat la nak pakai pun. Tudung putih akak Zahra ni dah boleh menurun dekat dia. Ai hanya tukar dan jahit balik tag nama dia je.



Awal-awal lagi ai dah pesan kat akak Zahra sebelum keluar, untuk hari pertama persekolahan ai ambil dia dan Aliah kat sekolah. Sebabnya nak jumpakan dorang bertiga untuk bergambar. Kalau balik dengan van takut tak sempat nak jumpa. Mujurla dapat juga ai ambil gambar dorang bertiga dekat perkarangan pintu masuk. Ini pun laju-laju ai ambil gambar dorang, kami sampai sekolah lambat. Padahal dah keluar dari rumah awal, tapi hari pertama sekolah tahu la, jalan nak masuk ke sekolah jem teruk sebab semua parents hantar anak-anak terutamanya yang masuk Tahun 1. Tepi jalan semua penuh kereta park.



Panasnya la cuaca masa ni, waktu tengahari dengan matahari terpacak. Ketibas semua cukup. Berkerut mata masing-masing menahan silauan cahaya matahari. Dorang pun layan Mummynya dengan keterpaksaan hihi. Aliah dok cakap panas, panas Mummy banyak kali huhu Disebabkan dah lambat, Ariq terus laju masuk kelas. Tak sempat ai dan enZaf ambil gambar dgn dia.

Mummy and the girls.



Oiii peha ai dah besar, bulan lepas berjalan satu bulan. Keje makan minum manis saja, habis naik 1kg okay. Dari 47 ke 48kg dah sekarang ni. Walaupun naik 1kg tapi dah kembang macam apa :(

Daddy and the girls pula.



Tahun ni Guru Besar baru dekat sekolah anak-anak. Banyak rules baru implement. Pengawas sekolah sebelum ni hanya pakai uniform sekolah biasa saja cuma membezakan dengan memakai vest. Tahun ini semua pengawas sekolah kena tukar baju berwarna biru. Baru la nampak macam pengawaskan. Tapi itu la , beli baru hanya pakainya setahun je, ai harap tahun depan Aliah jadi pengawas. Boleh la menurun baju tu ke dia. Nampak tak Mummy dia nak berjimat hahaha.

Tahun ni anak-anak semua bertukar kasut baru. Kaki masing-masing membesar. Akak Zahra memang sedia maklum kena beli semua serba baru untuk uniform pengawas sekolah. Aliah plak beli kain saja, yang lama dah singkat. Baju elok lagi masih muat. Tudung dia pakai akak Zahra punya. Ariq plak masih maintain baju dan seluar sekolah tahun lepas. Tak membesar anak bujang ni huhu Kalini gigih ai jahit lencana & nametag dorang. Itu pun tak habis lagi jahit nak nak tudung si akak Zahra. Tengok la malam ni rajin jahit satu lagi tudung :p

Selamat belajar anak-anak, semoga meraka terang hati dalam menimba ilmu.


Monday, January 6, 2020

Selamat Tahun Baru 2020


Baru nak wish tahun baru. Dan baru ni juga la buka blog huhu Malam tahun baru enZaf ajak keluar, tengok bunga api katanya. Ikutkan diri ni malas ya amat. Dah penat dan nak tidur saje. Tapi dah orang ajak, tak best pula kata tak. Jadi kita ikutkan saje la. Tak nak derhaka gitu :)

Ikutkan sebelum-sebelum ni, kami tengok bunga api kat Curve je, itu pun tengok dari jarak jauh. Nak pergi dekat-dekat memang tak la kan, dengan ramai orang dan jalan jem lagi bagai. Tapi sebelum nak pergi tengok fireworks tu, sempat singgah gerai apa ntah nama kat area Sg. Penchala. enZaf ajak makan mee goreng, lapar katanya. Ai tak lalu nak makan sebab dah penat hanya minum air je. Anak-anak yang dalam mengantuk tu pun makan juga, masing-masing makan nasi goreng cina.

Lepas makan, tengok jam ada dalam 20 minit lagi nak pukul 12 pagi, kami terus gerak ke Penchala Link. Berhenti kat tepi jalan berhampiran simpang nak masuk antara Mutiara Damansara dengan Damansara Perdana. Tahun sebelum pun kami pernah tengok dari tempat yang sama juga. Kalini ni ada construction plak area situ, terlindung sket nak tengok bunga api. Ai rasa tahun depan confirm tak nampak dah, kena cari port lain la plak nanti hihi

Anak-anak yang memula mengantuk menunggu, terus segar dan bersemangat nak tengok fireworks katanya. Angin malam tu pun agak kuat, nasib baik tak hujan.



Qaireen pun sama menahan mata, kehairanan agaknya kenapa malam-malam keluar lepak kat tepi jalan. Dengan penuh kereta park tepi dan orang semua keluar.



Masa start bunga api, tak sempat nak amik gambar bunga api elok-elok. Ai tengok balik kat phone ni je ada hahaha



Tak ambil gambar sangat, sebab Qaireen takut dengar bunyi bunga api tu. Dia peluk ai ketat-ketat. Tengok la sampai pejam mata. Ai suruh Qaireen tengok langsung dia tak buka mata tengok. Memang betul-betul takut sangat la tu.



Jenuh panggil dia tengok firework, sampai ke sudah buat tak tau je. Pejam sampai habis bunga api tu. 10 minit bunga api tu meletop 10 minit juga la mata dia tutup rapat. Nasib baik dia tak menangis. Kalau menangis lagi haru kan.

Dapat juga la ai ambil video hujung-hujung nak habis bunga api.







Kepada kawan-kawan blog, SELAMAT TAHUN BARU 2020!! Semoga kita menjadi orang yang lebih baik dari segala aspek.